CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, December 14, 2010

TiDak AkaN MeNyERah....

oleh: Hilal Asyraf

 Hari ini, saya post agak lewat. Saya fikir banyak perkara semalam. Hari ini saya sakit kepala. Saya ni, dua penyakit je saya tak boleh tahan, pertama sakit perut masuk angin, kedua sakit kepala. Selain dua penyakit ni, saya boleh tahan semua.Saya pening sampai tak tahu nak post apa hari ini. Mungkin saya boleh kongsikan beberapa perkataan pendek yang saya suka ulang untuk happy-happykan diri saya. Ya la, saya ni manusia juga. Ada masa terjatuh sungkur juga. Dan saya tidak suka kejatuhan. Maka, apabila saya jatuh, akan saya usaha motivasikan diri saya. Oh ya, nantikan esok, cerpen saya terbaru.


Bila saya lemah semangat untuk meneruskan perjuangan, saya akan kata:
“Kalau kau jatuh, macam mana dengan masa hadapan ummah? Kau adalah penjuru-penjuru Islam, dan musuh menyerang dari penjuru kau”

Ada masa, saya rasa keseorangan, saya akan kata:
“Kalau tiada siapa faham, Allah akan faham. Kalau tiada siapa rapat, Allah akan merapat”

Kalau saya menerima kesusahan, atau berhadapan kegagalan, saya akan kata:
“Ini adalah pengajaran, Allah nak ajar aku”

Masa saya tersilap, jatuh tersungkur, saya sering berkata:
“Hilal, manusia yang terbaik adalah manusia yang apabila dia jatuh, dia akan berusaha pantas menaikkan dirinya kembali”

Masa saya putus asa dengan diri saya, saya sering mengingatkan diri saya:
“Allah tidak berputus asa dengan kau, kenapa kau memutuskan harapan untuk diri kau sendiri?”

Hari-hari saya dihina dan direndah-rendahkan, saya akan kata:
“Biar kesusahan hari ini, dibayar dengan kejayaan hari nanti. Mereka akan melihat, betapa aku ini adalah orang yang tinggi”

Saat-saat teringat akan kisah lalu yang memalukan, menyedihkan, menyayat hati, saya akan berkata:
“Benda itu, tidak akan berulang pada diri aku, mahupun orang sekeliling aku”

Hari-hari saya tidak dikasihi manusia, dibenci dan dikeji-keji, saya akan berkata:
“Tidak mengapa, mereka tidak memahami”

Masa saya melihat, apa yang saya hendak capai itu susah, dan agak mustahil, saya akan berkata:
“Aku ini bersama kekuatan yang mampu merealitikan kemustahilan”

Saat-saat saya amat penat dan keletihan, saya akan berkata:
“Inilah dia kelemahan seorang Hilal Asyraf, moga-moga dia beringat” Sambil tersenyum.

Pernah apabila saya seakan-akan membenci diri ini, membenci kehidupan ini, saya berkata:
“Allah memberikan kehidupan sebegini, peluang sebegini, bukan untuk kau benci-benci dan bazirkan”

Pernah syaitan berbisik untuk berputus asa sahaja, saya mengingatkan:
“Adakah aku hendak mengikuti syaitan yang tidak tahan dengan ujian lantas dilempar keluar?”

Saya bukan malaikat, jauh sekali nak hebat macam Rasulullah SAW, tidak tercapai pun peringkat sahabat-sahabat, peringkat tabi’in pun mungkin dalam igauan. Saya manusia biasa biasa sahaja. Sama macam semua orang, sama macam semua orang.

Cuma pada saya, ada satu keyakinan yang tidak berbelah bahagi, bahawa saya ini hamba Allah SWT. Allah SWT itu, adalah Yang Tidak Pernah Menzalimi, Dia pula Yang Maha Menyayangi, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Pengampun, Yang Maha Pemberi Rezeki. Maka, dengan keyakinan ini, saya tidak rasa kehidupan saya boleh saya bazirkan hanya kerana diduga beberapa perkara, hanya kerana disusahkan dengan beberapa benda, hanya kerana dihina oleh beberapa orang.

Saya hanya perlu bertahan melalui kehidupan saya ini, sebagai mana kaum muslimin yang dibakar di dalam peristiwa Ashabul Ukhdud. Mereka bertahan dengan keyakinan mereka apabila dibakar, kemudian Allah membakar sesiapa yang membakar mereka di akhirat. Saya hanya perlu bertahan melalui apa sahaja halangan di atas dunia ini, nanti Allah akan merungkai semua halangan, memberikan semua balasan, membayar semua perjuangan di akhirat nanti.
Maka, saya perlu sentiasa katakan pada diri saya: Sabar, sabar, sabar.

Umur saya bukan semakin hari semakin panjang. Semakin hari, umur saya semakin pendek. Maka saya hanya perlu bersabar, dan berusaha. Hari-hari untuk dipanggil pergi semakin dekat. Mustahil saya hendak pergi dalam keadaan rosak. Saya mesti hendak kembali dalam keadaan sesempurna mungkin.

Maka, apa sahaja berlaku, saya memotivasikan diri saya untuk bertahan.
Bertahan, bertahan, bertahan.

Kalau semangat itu senjata, keyakinan itu perisai, maka senjata dan perisai saya itu tidak akan sesekali saya letakkan.
Tak akan sesekali.

Itu, yang membuatkan saya terus berdiri hari ini.

0 comments: